Monday 27 October 2014

Apakah Sebenarnya Disebalik Bantahan Kepada GST?




 

Tiada siapa suka membayar cukai. Tiada siapa suka wang di kocek di rampas. Rasa marah kerana terpaksa membayar cukai adalah satu sentimen yang biasa: bertambah parah apabila diberitahu cukai itu diambil oleh sebuah kerajaan yang jahat.

Pakatan Rakyat sebagai barisan pembangkang, arif yang perasaan marah kerana cukai boleh direncanakan sebagai sentimen anti-kerajaan. Justeru, bantahan terhadap GST dan memerah segala keuntungan politik daripada bantahan tersebut.

Pakatan Rakyat mendakwa GST adalah satu sistem cukai yang tidak adil dan merupakan satu beban kepada rakyat. Kononnya, GST dilaksanakan untuk menampung sebuah kerajaan yang boros. Mereka sering mengulang-ulang ungkapan bahawa GST akan membuat “yang miskin bertambah miskin, yang kaya bertambah kaya”. Mereka mengambil pendirian sedemikian untuk meraih sokongan dari golongan rendah dan pertengahan yang menjadi golongan pengundi yang terbesar.


Adakah watak-watak dalam PR sememangnya menentang GST?

Pada Oktober 30, 1992, Ketua Pembangkang yang ketika itu Menteri Kewangan telah mengumumkan GST dalam Bajet 1993. Beliau mencadangkan GST kerana pada pendapat beliau GST adalah satu sistem cukai yang adil dan efisien. Tetapi, hari ini beliau mempunyai pendapat yang bertentangan mengenai GST.

Adakah kebaikan-kebaikan GST telah berubah sejak dari 1992? Atau kedudukan Menteri Kewangan tersebut telah berubah dalam arena politik tanah air sejak 1992?

Semasa membentang Bajet Alternatif 2015, PR telah mencadangkan CGT sebagai ganti kepada GST. Adakah itu satu cadangan yang viable? Atau semata-mata kerana hanya ingin membuat cadangan yang berlainan?

Seakan-akan kanak-kanak di taman permainan, dimana satu kumpulan yang mempunyai sebiji bola mencadang untuk bermain bolasepak tetapi satu kumpulan lain yang tidak mahu dilihat sebagai pak turut mencadangkan untuk bermain besbol, walaupun tidak mempunyai kayu pemukul, sarung tangan dan bola besbol.

DAP Malaysia dan PAP Singapura mempunyai DNA yang sama. Mereka berkongsi satu pandangan-dunia, PAP telah melaksanakan GST di Singapura pada tahun 1994 tetapi DAP membantah pelaksanaan GST di Malaysia. Apa agaknya hujah-hujah orang-orang seperti Tony Pua, jika mereka berada dalam kerajaan Singapura ketika itu, untuk menyokong GST?

Parti-parti dalam PR terlalu tertumpu untuk menentang GST walau pun mereka sedia maklum bahawa lebih 160 negara telah melaksanakan GST. Mereka menentang GST kerana agenda politik yang sempit dan berkepentingan. Di dalam keasyikan untuk menjadi “pembangkang” mereka memilih untuk tidak mempedulikan kebaikan menyeluruh GST kepada rakyat dan negara.
Malaysia perlukan satu barisan pembangkang yang lebih berwibawa. 


Satu barisan pembangkang matang yang mengambil kira realiti ekonomi negara dan tanggungjawab fiskal kerajaan. Sebuah barisan pembangkang yang boleh bekerjasama dengan kerajaan untuk membuat GST lebih adil dan berkesan bukan nya hanya menabur kekeliruan dan keraguan kepada rakyat mengenai GST.

No comments:

Post a Comment