Wednesday 1 October 2014

HARGA MINYAK NAIK, MEMANG PATUT RAKYAT MARAH


Selepas pengumuman pengurangan subsidi minyak petang tadi, bertubi-tubi posting di facebook, twitter serta whatsapp rakyat yang marah terhadap kenaikan harga minyak. Tidak kiralah daripada penyokong pembangkang, atas pagar mahupun penyokong kerajaan. Semuanya naik angin!


Tidak terkecuali, saya pun merasa sangat marah dengan tindakan kerajaan ini. Sudah lah penat bekerja seharian, sangkut pula dalam kesesakan lalulintas tiba-tiba dapat pulak berita minyak naik.


Sebagai seorang yang memahami serba sedikit ekonomi negara, saya sebenarnya faham bahawa tindakan kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi ini adalah perlu untuk mengurangkan beban kerajaan. Mana tidaknya, kerajaan berbelanja sebanyak RM22 Billion atau RM22 RIBU JUTA setahun untuk menampung subsidi. Setelah di tarik 20 sen pun, kerajaan masih perlu berbelanja RM21 billion setahun untuk subsidi.


Saya sendiri setuju bahawa satu program lengkap rasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan. Ketirisan subsidi bukan perkara baru. Melalui penyalahgunaan subsidi oleh pendatang asing, kes seludup minyak ke negara luar hinggalah keadilan terhadap rakyat Malaysia dalam menerima subsidi tersebut.


Sebagai contoh: Seorang businessman, yang merupakan ‘high income earner’ dan memiliki sebuah kereta mewah berkapisiti tinggi mendapat lebih subsidi daripada mereka yang ‘low income’.


Anggaplah bahawa subsidi yang perlu ditanggung kerajaan adalah 30 sen untuk setiap liter petrol. Chong yang mempunyai pendapatan RM20,000 sebulan dan memakai kereta Mercedes Benz S350 mengisi petrol sebanyak 100 liter seminggu. Maka setiap minggu, kerajaan memberi Chong melalui subsidi sebanyak RM30 ringgit menjadikan jumlah sebulan adalah RM120 ringgit.


Manakala Lim, seorang penjual sayur di kampung dengan pendapatan hanya RM1200 sebulan mengisi minyak motor cuma 5 liter seminggu. Lim mendapat subsidi cuma RM1.50 sen seminggu dan sebulan cuma RM6 ringgit. Adilkah pembahagian subsidi ini? Sudah tentunya tidak.


Berapa banyakkah dalam RM21 bilion subsidi yang dibelanjakan kerajaan sebenarnya digunakan oleh mereka yang benar-benar memerlukan?


RM21 billion terlalu banyak untuk ditanggung sesebuah kerajaan. Wang ini boleh digunakan untuk membangunkan negara dan menambah fasiliti-fasiliti seperti jalanraya, hospital, sekolah, universiti dan macam-macam lagi projek untuk kesenangan rakyat khususnya yang benar-benar memerlukan.


Sudah tentu orang seperti Chong mempunyai medical card dan mampu menerima rawatan di hospital swasta. Tetapi Lim terpaksa menunggu barisan yang panjang di hospital kerajaan dgn fasiliti yang kurang lengkap. Maka untuk memastikan nasib rakyat seperti Lim terbela, kerajaan perlu menambah dan menaik taraf hospital-hospital kerajaan. Ini semua memerlukan belanja yang besar dan penjimatan subsidi boleh menanggung perbelanjaan ini.


Dalam masa yang sama, penjimatan berbillion ringgit ini akan memberikan kerajaan sumber tambahan untuk terus membangunkan ekonomi negara. Kalau pembaziran ini terus berlaku, maka pembangunan ekonomi akan terus terbantut dan cita-cita kita untuk menjadi ‘high income nation’ cumalah sekadar mimpi. Tentu kita semua mahu menikmati gaji seperti di Singapura, Amerika Syarikat dan Eropah kan? Jadi sabarlah sikit dan perlulah berkorban sementara.

Saya tak berminat nak menjawab soalan-soalan kenapa kita import minyak, Malaysia pengeluar minyak, harga minyak dunia turun, harga minyak Brunei lagi murah. Ini semua soalan remeh, anda boleh mendapat jawapan dengan meluangkan sedikit masa membuat kajian sendiri dan bukannya membuang masa mendengar ceramah pembangkang, membaca harakah atau posting facebook yang mengeluarkan pendapat ‘ahli-ahli ekonomi mee segera tak bertauliah’.


Jadi saya tidak kisah tentang rasionaisasi subsidi ini, tapi apa yang buat saya marah?


Program rasionalisasi subsidi ini terletak di bawah tanggungjawab Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdul Wahid Omar yang merupakan tokoh korporat dari Maybank.


Bila terbaca sebaran gambar di whatsapp yang memapaparkan kenyataan akhbar KPDNKK ditanda dengan nota “EMBARGO SEHINGGA 6.15 PETANG”, darah saya terus naik!


Mereka sepatutnya sedar bahawa 3 hari lagi kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha. Orang nak balik kampung, nak beraya. Dan jam 6.15 petang adalah waktu rakyat paling penat kerana baru pulang dari tempat kerja dan sedang meredah kesesakan jalan raya!


Apakah rakyat Malaysia tidak layak untuk mengetahui tentang kenaikan harga minyak lebih awal untuk membuat persediaan?
Ibarat jatuh ditimpa tangga, rakyat mendapat berita kurang menyenangkan ini dalam keadaan yang sangat penat. Jadi salahkah rakyat apabila mereka naik angin dan melenting atas pengumuman ini? Kita pun belajar masa zaman persekolahan, kalau keputusan peperiksaan teruk dan takut nak beritahu bapa, tunggu sehingga mood bapa berada dalam keadaan baik baru kita beritahu. Ini menggurangkan risiko kita disebat rotan!


Wahid sepatutnya mempunyai satu pelan yang konkrit untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi ini. Pelan ini sepatutnya dikemukakan kepada rakyat lebih awal supaya rakyat faham dan bersedia. Apa jua pelan tersebut, ianya tidak harus ditangguh lagi dan tidak sepatutnya terletak di meja Wahid dan pegawai-pegawai di unitnya sahaja. Rakyat tidak marah kalau mereka faham. Ambil contoh pelaksanaan GST, ianya diumumkan setahun lebih awal dan program-program penerangan diperhebat untuk menerangkan konsep GST kepada rakyat.


Saya meneliti kenyataan-kenyataan Wahid sejak setahun yang lepas, memang banyak beliau menyebut mengenai program rasionalisasi subsidi. Tapi bahasa korporat yang digunakan terlalu kompleks dan beliau langsung tidak menerangkan tentang pelan tindakan untuk program tersebut. Apa yang nak dibuat? Apa kaedahnya? Bila? Apa yang akan dibuat dengan penjimatan tersebut? Apa langkah untuk pastikan bahawa subsidi diberi secara adil untuk mereka yang memerlukan?

Setelah segala pelan dirancang dengan teratur, Wahid kemudiannya perlu mengambil langkah untuk meminta bantuan agensi-agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk membantu memberi penerangan kepada rakyat. Barulah rakyat faham dan tidak melenting apabila subsidi petrol dikurangkan.


Jadi inilah sebabnya rakyat marah. Kerana mereka kurang jelas dan faham, pelaksanaannya pula pada masa yang tidak sesuai!

No comments:

Post a Comment